CGTN: Menanti Kepulangan Bot: Sebuah Keluarga Nelayan di Laut China Selatan
News originally published by
GlobeNewswire
BEIJING, Nov. 12, 2026 (GLOBE NEWSWIRE) --
Pada tahun 1975, sebuah bot nelayan yang membawa 30 lelaki belayar ke laut. Bot itu tak kembali lagi.
Antara mereka yang terkorban ialah Su Xianli, suami Fu Yuhua. Lebih setengah abad kemudian, beliau masih menyimpan satu-satunya potret Su Xianli.
“Ketiga-tiga anak kami masih kecil ketika itu. Mereka sudah kehilangan bapa. Apa pula nasib mereka sekiranya kehilangan ibu juga?” kenang Fu Yuhua.
Apabila dewasa, anak lelakinya, Su Biaowei, menjadi seorang nelayan. Setiap kali beliau turun ke laut, Fu dan menantunya, Lu Chunxiang, akan menunggu di pesisir pantai.
“Saya memang bimbang tentang keselamatannya, terutamanya apabila cuaca buruk atau laut bergelora,” kata Lu Chunxiang.
Bagi keluarga ini, laut menjadi sumber rezeki, namun turut membawa kehilangan. Tragedi yang sama juga meragut nyawa bapa Lu Chunxiang. Ketika kehilangan bapa masing-masing, Lu Chunxiang dan Su Biaowei baru berusia lima tahun. Bertahun-tahun kemudian, mereka berkahwin dan membina kehidupan yang dibentuk oleh laut yang sama.
Hari ini, generasi seterusnya masih turun ke laut untuk menangkap ikan. Dan keluarga mereka masih menanti.
Kehidupan yang Dibentuk oleh Laut
Corak pemergian dan penantian ini bukanlah sesuatu yang unik kepada sebuah keluarga sahaja. Di Tanmen, sebuah pekan nelayan di selatan Wilayah Hainan, China, Laut China Selatan telah menjadi sumber rezeki nelayan di kawasan itu sejak turun-temurun.
Ada antaranya yang mewarisi laluan pelayaran dan kemahiran nenek moyang masing-masing. Su Chengfen mula turun ke laut bersama datuknya ketika berusia 13 tahun. Buku panduan pelayaran tradisional yang disimpannya dikenali sebagai Genglubu. Buku tersebut mencatatkan laluan yang digunakan oleh nelayan jauh sebelum wujudnya sistem navigasi satelit.
“Jika kami ingin mengetahui laluan ke sesuatu terumbu, kami hanya perlu merujuk Genglubu,” kata Su Chengfen, yang telah meninggal dunia pada tahun 2021.
Ada juga yang masih menyelam di kawasan terumbu untuk menangkap ikan, berbekalkan kemahiran yang dipelajari dan diasah selama bertahun-tahun. Namun, hasil tangkapan semakin berkurangan, sementara minat golongan muda terhadap kaedah tradisional ini juga semakin menurun.
Di Pulau Jinqing, nelayan menyesuaikan diri dengan cara yang berbeza. Kapal yang lebih besar membawa bot-bot nelayan yang lebih kecil jauh ke tengah laut. Feng Ping, yang ditemui kru dokumentari CGTN buat kali pertama 12 tahun lalu, kini turut mengangkut bekalan antara pulau.
“Laut yang kami lalui tidak banyak berubah. Yang berubah ialah manusia,” kata Feng Ping.
Kehidupan mereka mungkin berbeza, namun hubungan itu tetap utuh. Laut bukan sekadar tempat mereka mencari rezeki, tetapi juga tempat ilmu diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya dan tempat setiap pemergian dan kepulangan menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga.
Makna Sebuah Rumah
Semasa kecil, Wang Zhenzhong sering pergi ke pesisir pantai bersama ibunya untuk menanti kepulangan bot bapanya. Pada masa itu, keluarga nelayan tidak mempunyai banyak cara untuk mengetahui bilakah para nelayan akan pulang.
“Kami melihat satu titik kecil di ufuk yang semakin lama bertambah besar. Sebuah bot sedang kembali. Namun, apabila bot itu tiba di pelabuhan, rupa-rupanya bukan bot kami. Jadi, kami terpaksa terus menunggu,” kenang Wang Zhenzhong.
Kenangan beliau turut mempunyai persamaan dengan kisah Fu Yuhua dan keluarganya. Merentasi generasi, para nelayan terus turun ke laut, sementara keluarga mereka menanti kepulangan mereka.
Inilah antara kisah yang dipaparkan dalam dokumentari CGTN, The Sea We Call Home, yang menampilkan lima kisah penduduk pulau dan nelayan di Laut China Selatan. Menerusi kehidupan mereka, filem ini meneroka kaedah navigasi tradisional, perubahan amalan penangkapan ikan serta hubungan erat antara manusia dengan laut.
Bagi para nelayan ini, laut lebih daripada sekadar tempat mencari rezeki. Laut menyimpan pengetahuan yang diwariskan oleh generasi terdahulu, kenangan terhadap insan yang telah pergi serta harapan untuk melihat insan tersayang kembali dengan selamat.
“Kaum lelaki belayar jauh ke tengah laut. Demi keluarga. Wanita menanti mereka dan menjaga anak. Itulah sebuah rumah. Apabila anak-anak membesar, mereka mengikut jejak langkah bapa masing-masing. Itu juga makna sebuah rumah,” kata Wang Zhenzhong.
Video: https://www.youtube.com/watch?v=lyxb8Ub0kSY
Video yang mengiringi pengumuman ini tersedia di https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/3e0b9c15-d469-424c-ae17-63d58d0bd672
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/569bf77d-4ca1-40af-8c6a-ec7c153757eb

Hubungi: CGTN Digital jiang.simin@cgtn.com
Legal Disclaimer:
EIN Presswire provides this news content "as is" without warranty of any kind. We do not accept any responsibility or liability for the accuracy, content, images, videos, licenses, completeness, legality, or reliability of the information contained in this article. If you have any complaints or copyright issues related to this article, kindly contact the author above.
